Pelajar Al-Amin Mencatat Kecemerlangan SPM PDF Cetak E-mail

 

Image
keratan surat khabar Sinar Harian Terengganu 18 Mac 2010

11 MAC 2010- Di samping tercatitnya sejarah SMI Al-Amin Kemaman sebagai kali pertama mendapat keputusan SPM, salah seorang pelajar turut mencatatkan keputusan yang membanggakan dengan memperolehi 15 A dalam kesemua subjek yang diambilnya. Malah pelajar tersebut, Muhammad Irfan Bin Bahrin turut ditemu bual oleh akhbar Sinar Harian Terengganu berhubung keputusannya.

 Beliau mendapat 11A+, 2A dan 2A-, manakala menurut sumber-sumber tertentu, tahun ini di Terengganu tiada lagi pelajar lain yang mendapat keputusan lebih daripada 13 A dalam semua subjek.

 Menurut bapanya, Encik Bahrin Bin Abdul Aziz, "Saya berharap agar kejayaan ini dapat membuka mata semua pihak yang masih meragui kemampuan Al-Amin melahirkan kecemerlangan akademik (di samping kecemerlangan syakhsiyyah)."

 Malah, Muhd Irfan merupakan salah seorang pelajar yang memegang kepimpinan sekolah dalam Ahli Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar Sekolah (AMT MPP) di samping aktif dengan berbagai aktiviti dan program anjuran sekolah. Beliau juga melibatkan diri secara aktif dengan program-program Kelab Remaja JIM.

 Menurutnya, "Masa perlu digunakan secara optimum ke arah perkara-perkara yang bermanfaat agar masa dan usia kurniaan Allah tidak dipersia-siakan." Di samping itu kejayaan beliau membuktikan kesibukan dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat tidak menjadi penghalang kepada kecemerlangan akademik, sebaliknya melatih ke arah pembahagian masa efektif dan membentuk jiwa yang cekal dan berdisiplin. Beliau juga mengamalkan solat sunat, berpuasa sunat dan tilawah al-Quran secara konsisten.

 Beliau berharap agar kejayaannya menjadi motivasi kepada seluruh warga al-Amin khususnya generasi yang lebih muda yang bakal menduduki SPM. Beliau bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Kewangan Islam di Jordan. "SPM bukan penamat, tetapi suatu permulaan,' katanya.

Di samping itu, terdapat ramai lagi pelajar yang mendapat A dalam SPM tahun ini, antaranya Ainin Sofia Binti Roslan (10A), Nur Afifah Binti Ali (9A), dan Nurul Najihah Binti Khairuddin (7A). Dari 17 orang calon, 14 orang lulus dalam semua subjek. Kesemua 17 orang calon telah lulus mendapat sijil SPM.

 
Ucapan daripada Chief Operation Officer Pusat Pendidikan Al Amin Kemaman - Hj Abd Malik bin Mohd Isa PDF Cetak E-mail

 

Image
Haji Abdul Malik Bin Mohd Isa

Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh.

 

Limpahan kesyukuran buat Rabbul jalil yang masih memberikan kita ruang dan peluang untuk terus bermaya di persada pendidikan ini dalam kelangsungan perjuangan kita memartabatkan suatu Sistem Pendidikan Islam yang holistik, komprehensif dan berdaya saing. Tuntutan mempelajari dan menyelongkari dunia keilmuan dan pengetahuan tidak terbatas sekadar lingkaran ilmu ukhrawi sahaja malah meliputi ilmu duniawi. Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran. FirmanNya,”Dan carilah setiap apa yang dikurniakan Allah kepada kamu di akhirat dan jangan kamu lupa nasib kamu di dunia. Dan berbuat baiklah seperti mana Allah berbuat baik kepada kamu. Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melakukan kerosakan.” (Surah al Qasas, ayat 77)

 

Pusat pendidikan Al Amin Kemaman melalui visi dan misinya mengerah segala tenaga dari setiap penjuru untuk mempastikan berjaya melahirkan empat golongan untuk generasi masa hadapan iaitu mengeluarkan pelajarnya sama ada menjadi ulamak,pemimpin, professional dan usahawan berjaya. Tanpa melupakan cirri-ciri yang sekian lama dipupuk iaitu aqidah yang bersih,ibadah yang benar,peribadi yang matang,kekuatan fizikal,bersungguh dan berdisiplin,  insya’allah kita mampu merealisasikan sebuah masyarakat yang menjadikan Islam sebagai dinul hayat(agama kehidupan) dan beroleh kegemilangan sepertimana pada awal kurun pertama hingga ke 14 masihi dahulu.

 

Menghidupkan biah Islami adalah suatu cabaran apatah lagi dalam menghadapi serangan yang paling getir pada hari ini iaitu terhadap sistem kredibiliti Islam itu sendiri. Keyakinan yang padu dan penyerahan mutlak kepada Allah swt akan menatijahkan suatu hasil yang tak akan kita sangka-sangka dengan syarat kita terus berjihad bermati-matian untuk melonjakkan dan mengerah segala jentera yang ada demi membangunkan pelajar yang soleh dan musleh yang merupakan takungan-takungan yang akan nanti mengalir deras dan bertebaran ke persada dunia demi menegakkan kalimah Allah subhanawataala.

 

Akhir kata, ayoh kita gembeleng bersama apa yang kita ada dan mengikhlaskan niat,neningkatkan tekad melahirkan Generasi Rabbani di saat dunia kepupusan manusia insani yang tunduk dan bersyukur padaNya.

 
Jangan berfikir untuk bersedekah PDF Cetak E-mail

 Image

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi SAW., sabdanya: ”
Ada seorang lelaki berkata, “Aku hendak bersedekah malam ini.” Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan disedekahkannya kepada perempuan lacur. Esok pagi orang banyak mempercakapkan bahawa tadi malam ada pelacur yang diberi orang sedekah. Orang itu berujar, “Wahai, Allah! Segala puji bagi-Mu yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur. Aku akan bersedekah lagi.” Dia pergi pula membawa sedekahnya, lalu diberikannya kepada orang kaya.

Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang memberi sedekah kepada orang kaya. Lalu orang yang bersedekah itu berkata, “Wahai, Allah! Untuk-Mulah segala puji, kerana Engkau telah menjadikan sedekahku jatuh kepada orang kaya. Aku akan bersedekah lagi.” Dia pergi pula membawa sedekahnya, dan diberikannya kepada si pencuri. Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang bersedekah kepada pencuri. Orang yang bersedekah itu pun berujar pula, “Segala puji bagi Allah yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur, kepada orang kaya, dan kepada pencuri.’

Kemudian orang itu didatangi malaikat seraya katanya :”Sedekah anda sudah diterima baik oleh masing-masing orang yang anda beri sedekah. Adapun perempuan lacur, semoga dia berhenti dari perbuatan melacur; kepada si kaya, semoga dia menyedari dirinya dan bersedekah pula; dan untuk si pencuri, semoga dia berhenti mencuri.”[HR Muslim]

Berdasarkan hadis ini jelas sekali kepada kita bahawa sedekah kita tetap diterima oleh Allah seandainya ada keikhlasan di atas apa yang disedekahkan oleh kita. Sesiapa pun yang menerima sedekah kita tidak menjadi masalah, walaupun mungkin pada pandangan nilaian mata manusia sedekah yang kita lakukan berlaku di luar adat manusia. Tetapi bila kita membaca mafhum hadis ini jelas sekali apabila kita timbul niat untuk bersedekah, maka jangan kita berfikir panjang kepada siapa dan berapakah jumlahnya yang akan kita keluarkan untuk bersedekah.

Lelaki yang disebut di dalam hadis ini tidak menghiraukan apa jua perkataan yang keluar walaupun sedekah yang dikeluarkan tidak menepati nilaian mata manusia, namun apa yang lebih penting ialah nilaian amal kebajikan di sisi Allah SWT.

Jadilah golongan yang memberi kerana kedudukannya jauh lebih mulia berbanding mereka yang menerima. Allah SWT amat memuliakan golongan yang memberi ini, tetapi seandainya mereka memberi tetapi dalam keadaan si penerima tidak redha dan merasa benci dengan pemberian dan sedekahnya kerana wujud kejian dan kata-kata yang tidak baik, maka adakah ianya mendapat rahmat di sisi Allah? Mudah-mudahan amal baik kita ini diterima oleh Allah SWT.

 
Musleh memperkasa pendidikan Islam - Petikan dari akhbar Utusan Malaysia 4 Januari 2010 PDF Cetak E-mail

 

Image
nadwah kepimpinan

KEJAYAAN menghimpunkan seramai 1,200 peserta dan pegawai dari sekolah-sekolah jaringannya, Sekolah Islam Adni, Jaringan Sekolah Islam Terpadu, Indonesia dan Yala Islamic College, Thailand pada program Perkhemahan Nasional Kadet Remaja Sekolah MUSLEH,

yang berlangsung Disember lalu merupakan acara paling bersejarah kepada Pusat Pendidikan SRI-SMI Berhad atau lebih dikenali sebagai MUSLEH bagi menutup tirai tahun 2009.

Bahkan diari 2009 yang baru empat hari ditinggalkan ini turut mencatatkan kenangan bermakna apabila pelajar tingkatan lima SMI Hidayah, Johor Bharu, Ishraf Hakim Mohd. Nadzri, telah dinobatkan sebagai Johan dalam Pertandingan Syarahan bagi program Pertandingan Aktiviti Kokurikulum Sekolah-Sekolah Swasta 2009 peringkat Kebangsaan, Ogos lalu.

Selain itu, MUSLEH juga berbangga dengan sambutan yang diterima menerusi Program Nadwah Pelajar 2009 pada Oktober lalu, di mana menerima penyertaan di luar jangkaan apabila semua 14 buah sekolah menengah Islam (SMI) dari seluruh negara iaitu seramai 180 orang.

Sesungguhnya, apabila melihat ikatan silaturahim dan ukhuwah Islamiah sesama Muslim dari dalam dan luar negara tersimpul erat serta penonjolan aktif generasi pelapis, sudah pastinya, usaha memperkasakan sistem pendidikan Islam perlu diarus perdanakan demi melahirkan anak-anak yang berakhlak tinggi dan profesional ke arah membangunkan modal insan.

Pengerusi MUSLEH, Megat Mohamed Amin dalam pertemuan di Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur, Rabu lepas menjelaskan, MUSLEH adalah sebuah syarikat berhad menurut jaminan yang tidak mensasarkan keuntungan dalam usaha-usaha yang dipelopori olehnya. Bersesuaian dengan maksud MUSLEH iaitu orang yang baik dan yang mengajak orang lain kepada kebaikan

"Peranan sebagai sebuah institusi pendidikan sebenarnya telah bermula semenjak tahun 1985. Bermula dengan Sekolah Rendah Islam (SRI) Hira' di Shah Alam dan kini telah berkembang sehingga 19 buah SRI dan 14 buah SMI di seluruh negara kecuali Melaka, Perlis, Sabah dan Sarawak.

"Pada tahun 1988, pengetua-pengetua ini telah berkumpul dan berbincang dan kata sepakat diperoleh untuk menubuhkan Majlis Guru Besar Sekolah Islam Malaysia (MGBSIM) dan bergerak secara tidak formal. Sehinggalah pada 1996 barulah ia berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Pada masa sama, di pihak pengetua-pengetua, mereka merasakan perlunya ada satu cara yang lebih efektif. Nak dijadikan cerita, pada seminar pendidikan Islam anjuran Jamaah Islah Malaysia (JIM), salah satu daripada resolusinya ialah menubuhkan satu rangkaian institusi pendidikan Islam. Bertitik-tolak dari situlah, akhirnya tertubuhnya MUSLEH iaitu pada 4 Mei 2000," terang Megat Mohamed yang juga merupakan Pengarah Eksekutif MUSLEH.

Tambah beliau, jika dilihat kepada falsafah dan konsep yang terdapat di MUSLEH, sebenarnya ujar Megat Mohamed ia lebih kurang sama dengan institusi pendidikan Islam yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan dewasa ini iaitu; menuju kepada arah yang satu; mencari keredaan Allah dan menghayati Islam.

"Tinggal lagi, kita merasakan perlu mewujudkan satu suasana, persekitaran atau kami panggil biah yang sesuai serta membolehkan konsep dan falsafah serta sistem-sistem ini dilaksanakan dengan efektif dan efisien. Selain itu, perkara yang sangat penting dalam falsafah pendidikan Islam ini, ia berteraskan konsep akidah at tauhid, sekali gus melahirkan insan rabbani yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia serta berkemampuan membentuk kehidupan diri sendiri, masyarakat, negara dan dunia, sebagaimana yang dituntut oleh al-Quran dan as-sunnah.

"Selain dibezakan menerusi konsep dan falsafah di atas, perkara kedua ialah dari segi kemampuan untuk mengoperasikan konsep dan falsafah tersebut. Yang menjadi isu, ramai yang boleh bercakap tetapi untuk menggerakkannya bukanlah sesuatu yang senang. Oleh itu, perkara inilah menjadi tumpuan MUSLEH. Sebagi contoh, dari segi para pendidik.

"Sistem ini perlukan kepada guru-guru atau di sini disebut murobbi yang mampu menyampaikan mesej. Mereka ini bukan sahaja bertanggungjawab untuk mengajar semata-mata tetapi mampu melaksanakan tanggungjawab permentoran/intervensi, rangsangan, tunjuk ajar dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan, orang yang mempunyai kriteria sebegini memang susah, terutamanya yang memiliki ciri qudwah hasanah (contoh tauladan yang baik)," tegas Megat Mohamed petang itu.

Lantaran itu, untuk memastikan bahawa para pendidik merupakan murobbi yang dihormati, disayangi serta berkesan dalam menjalankan tanggungjawab, MUSLEH telah menjalankan kursus dan latihan berterusan kepada para pendidik SRI dan SMI. Setelah tamat, mereka diberi Syahadah Perguruan SRI-SMI (SP SRI-SMI).

Begitu juga, penyediaan Sistem Pentaksiran Pelajar MUSLEH (SPPM) yang menggabungkan penilaian holistik dan berterusan. Syahadah SPPM dianugerahkan kepada pelajar-pelajar yang berjaya dalam pendidikan mereka di SRI dan SMI.

MUSLEH mengharapkan, melalui semua proses pengajaran dan pembelajaran dalam sistem ini, akan lahir pelajar-pelajar yang berkelayakan dan berkemampuan untuk menjadi penggerak dan pemimpin dakwah dalam masyarakat.

Mengakui akan cabaran daripada anasir atau pengaruh luar yang lebih merbahaya, maka harapan Megat Mohamed agar diwujudkan kerjasama terutamanya dengan kementerian, agensi-agensi swasta malah semua pihak untuk sama-sama berganding bahu untuk menyelamatkan para pelapis negara ini.

"Hakikatnya, perlu dijelaskan kepada semua pihak akan kepentingan diterapkan falsafah dan pendidikan Islam kepada semua golongan masyarakat tidak mengira, warna kulit, bangsa dan agama dalam melahirkan modal insan.

"Sayangnya apa yang berlaku, ramai yang telah meletak atau melabel terlebih dahulu sebelum terlebih dahulu fahami di sebalik sistem pendidikan Islam itu. Itulah yang menjadi kekangan kepada usaha pemulihan sistem pendidikan negara.

"Untuk itu, MUSLEH amat berhajat untuk berkerjasama dengan kementerian, institusi pendidikan Islam dan bukan Islam di mana pada akhirnya, akan lahir seorang insan yang berguna dan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara," kata beliau mengakhiri perbualannya.

 
Sifat-sifat kepimpinan PDF Cetak E-mail



Kepimpinan berasal daripada perkataan ‘pimpin’ yang bermaksud membimbing, memandu, menunjuk, mengepalai dan mengetuai. Dalam Islam, pemimpin dipandang sebagai seorang yang bertanggungjawab dalam menegakkan syariat Allah dimuka bumi ini. Ianya selari dengan tuntutan Al-Quran dalam surah Al-Ahzab : 72 di mana semua makhluk Allah sama ada di langit, bumi dan gunung-ganang enggan menerima amanah yang diberikan oleh Tuhan disebabkan oleh beratnya amanah itu tetapi manusia rela menerimanya.



Pemimpin yang ideal menurut Islam adalah pemimpin yang mempunyai sifat-sifat sepertimana yang ditetapkan oleh Al-Quran, Hadis dan Sunnah. Kemudian diperjelaskan lagi oleh ulamak-ulamakdan pemikir-pemikir Islam yang terkenal.dalam kepimpinan

Seorang ahli falsafah terkenal, Al-Farabi menggariskan sifat-sifat kepimpinan. Mengikut beliau pemimpin perlu sifat seperti berikut:

1. Bertanggungjawab dalam menegakkan syariat Allah
2. Kesempurnaan anggota tubuh
3. Pengertian(pemikiran) yang luas
4. Menggambarkan seluruh apa yang dikatakan
5. Kesempurnaan ingatan yang terkandung
6. Kesanggupan untuk menyampaikan kepada orang lain dengan sebenarnya menurut keinginan dengan penuh kecintaan kepada ilmu.
7. Dapat menguasai keinginan yang berlebihan dalam makan. Minum dan perlanggaran hawa nafsu
8. Lapang hati dan cinta keadilan, membenci paksaan dan penyelewengan
9. Kesanggupan untuk memberi keadilan tanpa sesuatu paksaan
10. Tidak mengenal takut dan mengerjakan menurut keyakinan

 


PEMIMPIN YANG TIDAK HARUS DIPILIH



Pemimpin yang tidak harus dipilih ialah pemimpin yang munafik, menyeleweng dan tidak beriman.

Hal ini sesuai dengan Firman Allah dalam ayat al-Maidah:57 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi pemimpin orang-orang yang membuat agamamu menjadi olok-olok dan main-main , iaitu orang yang diberi kitab sebelum kamu dan orang-orang yang tidak beriman. Patuhlah kamu kepada Allah, kiranya kamu benar-benar orang yang beriman.”

 



Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Apabila disia-siakan amanah, maka tunggulah saat kehancuran?” Sahabat bertanya : “ Wahai Rasullullah apakah dia mensia-siakan amanah itu?” Baginda berkata : “Apabila diserahkan sesuatu urusan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kehancuran.”

 


Diriwayatkan daripada Usaid bin Hudhair r.a katanya: Seorang lelaki dari kaum Ansar telah mengadap Rasulullah s.a.w secara bersendirian lalu dia berkata: Kenapa engkau tidak menugaskan aku sebagaimana engkau telah tugaskan Si Polan? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Sesungguhnya kamu akan bertemu pemimpin yang mementingkan diri sendiri serta bongkak sepeninggalanku nanti, maka hendaklah kamu bersabar sehingga kamu menemui aku di perigi (dalam Syurga)

 


InsyaAllah, semoga kita semua dapat memilih pemimpin yang dapat menegakkan Agama Allah ini. Dalam suasana sekarang kita, harus tabah kerana kita akan bertemu dengan pemimpin yang mementingkan diri sendiri serta bongkak sepertimana Hadis yang dinyatakan seperti di atas. Kita perlulah bersabar dengan karenah mereka-mereka ini. Semua itu ujian dari Allah untuk menguji kita sejauh mana ketaatan kita kepadaNya.

 

 
Advertisement