|
 keratan surat khabar Sinar Harian Terengganu 18 Mac 2010 11 MAC 2010- Di samping tercatitnya sejarah SMI Al-Amin Kemaman sebagai kali pertama mendapat keputusan SPM, salah seorang pelajar turut mencatatkan keputusan yang membanggakan dengan memperolehi 15 A dalam kesemua subjek yang diambilnya. Malah pelajar tersebut, Muhammad Irfan Bin Bahrin turut ditemu bual oleh akhbar Sinar Harian Terengganu berhubung keputusannya. Beliau mendapat 11A+, 2A dan 2A-, manakala menurut sumber-sumber tertentu, tahun ini di Terengganu tiada lagi pelajar lain yang mendapat keputusan lebih daripada 13 A dalam semua subjek. Menurut bapanya, Encik Bahrin Bin Abdul Aziz, "Saya berharap agar kejayaan ini dapat membuka mata semua pihak yang masih meragui kemampuan Al-Amin melahirkan kecemerlangan akademik (di samping kecemerlangan syakhsiyyah)." Malah, Muhd Irfan merupakan salah seorang pelajar yang memegang kepimpinan sekolah dalam Ahli Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar Sekolah (AMT MPP) di samping aktif dengan berbagai aktiviti dan program anjuran sekolah. Beliau juga melibatkan diri secara aktif dengan program-program Kelab Remaja JIM. Menurutnya, "Masa perlu digunakan secara optimum ke arah perkara-perkara yang bermanfaat agar masa dan usia kurniaan Allah tidak dipersia-siakan." Di samping itu kejayaan beliau membuktikan kesibukan dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat tidak menjadi penghalang kepada kecemerlangan akademik, sebaliknya melatih ke arah pembahagian masa efektif dan membentuk jiwa yang cekal dan berdisiplin. Beliau juga mengamalkan solat sunat, berpuasa sunat dan tilawah al-Quran secara konsisten. Beliau berharap agar kejayaannya menjadi motivasi kepada seluruh warga al-Amin khususnya generasi yang lebih muda yang bakal menduduki SPM. Beliau bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Kewangan Islam di Jordan. "SPM bukan penamat, tetapi suatu permulaan,' katanya. Di samping itu, terdapat ramai lagi pelajar yang mendapat A dalam SPM tahun ini, antaranya Ainin Sofia Binti Roslan (10A), Nur Afifah Binti Ali (9A), dan Nurul Najihah Binti Khairuddin (7A). Dari 17 orang calon, 14 orang lulus dalam semua subjek. Kesemua 17 orang calon telah lulus mendapat sijil SPM. |